Bismillahirrahmanirrahim
Segala puji-pujian adalah milik Allah SWT. Selawat dan Salam buat Nabi Muhammad SAW Rasul Junjungan. Keselamatan dan keamanan buat seluruh ummah hingga ke akhir zaman.
Alhamdulillah, dipanjatkan kesyukuran ke hadrat Allah SWT kerana dengan izin dan rahmatNya, laman sesawang rasmi wakaf.utm.my telah berjaya diberi nafas baru bagi memastikan kelestariannya. Laman sesawang wakaf.utm.my ini direka bagi memuatkan maklumat organisasi, perkhidmatan dan laporan aktiviti-aktiviti Unit Dana Wakaf Pendidikan UTM (UDWP-UTM).
Pada kesempatan ini, saya ingin menyampaikan ucapan penghargaan dan terima kasih JazakumullahuKhairan kepada seluruh tenaga kerja redaksi laman sesawang wakaf.utm.my yang telah memberikan sepenuh iltizam dan dedikasi dalam menyempurnakan tugasan yang diberikan. Diharapkan ia dapat menyediakan maklumat yang diperlukan oleh pemegang taruh, rakan-rakan strategik, pelanggan dan pewakaf yang diraikan. Pun begitu, andai terdapat sebarang kekurangan mohon dapat dinyatakan agar pembetulan dan penambahbaikan dapat dilaksanakan. Pada masa yang sama, sebarang ide dan cadangan amatlah dialu-alukan bagi mempelbagaikan lagi ilmu berkenaan wakaf.
Saya optimis bahawa laman sesawang wakaf.utm.my mampu menjadi platform yang terbaik bagi menjelaskan kedudukan semasa Dana Wakaf Pendidikan UTM, dari aspek kutipan, pelaburan dan agihan manfaat wakaf. Ia juga mampu memberikan penerangan tentang projek-projek Dana Wakaf Pendidikan UTM yang boleh diceburi oleh para pewakaf mengikut kesesuaian dan kemampuan masing-masing. Perlu ditegaskan bahawa Dana Wakaf Pendidikan UTM mempelawa setiap individu untuk turut sama berwakaf walaupun dengan RM1.
Adalah diharapkan bahawa mesej utama laman sesawang wakaf.utm.my ini adalah bersungguh-sungguh mengajak semua untuk berwakaf berlandaskan hadis Rasulullah SAW maksudnya: “Takutlah (jauhilah) dari azab neraka walaupun dengan bersedekah separuh dari kurma, maka sesiapa yang tidak mampu untuk melakukannya, hendaklah dia (bersedekah) dengan kata-kata yang baik”. (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim).
Laman sesawang wakaf.utm.my direka bagi memenuhi hasrat tadbir urus (good governance) wakaf yang telus, cekap, berintegriti dan berakauntabiliti. Hal ini antaranya dapat diperolehi dengan cara menyediakan Laporan Kewangan yang terkini dan setelah diluluskan oleh Jawatankuasa Audit Dana Wakaf Pendidikan UTM. Perlu ditegaskan bahawa perjalanan tadbir urus Dana Wakaf Pendidikan UTM adalah terikat dengan peraturan kewangan universiti. Pada masa yang sama tabdir urus Dana Wakaf Pendidikan UTM adalah dikawal selia oleh Jawatankuasa Syariah Dana Wakaf, Jawatankuasa Pengurusan Dana Wakaf, Jawatankuasa Pelaburan Dana Wakaf, Lembaga Pengarah Dana Wakaf Pendidikan UTM dan Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) serta Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP).
Sebagai mengakhiri ucapan, izinkan saya melafazkan doa buat semua pewakaf; “Semoga Allah SWT memberikan ganjaran pahala berterusan atas sumbangan yang diberikan, di samping memberkati harta yang masih disimpan dan diberikan kesihatan tubuh badan serta akal fikiran. Juga semoga Allah SWT menjadikan sumbangan wakaf ini menjadi asbab untuk dijauhkan dari azab seksaan di alam kubur dan di Hari Kemudian, juga dapat dimasukkan ke syurga Firdaus tanpa sebarang halangan”.
Yang Menjalankan Amanah
Prof Madya Dr. Ahmad Bin Che Yaacob
Pengarah Dana Wakaf UTM